Berita Semasa

Program pra tahfiz di Tabika KEMAS mulai Julai ini

PUTRAJAYA – Dalam menanam minat anak-anak menghafaz dan mencintai al-Quran di usia muda, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan mula menganjurkan Program TABIKA Pra Tahfiz mulai Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, program ini merupakan satu nilai tambah bagi Modul Program Penghayatan Pendidikan Islam (PPI) yang memberi penekanan dan tumpuan khusus terhadap dua aspek iaitu pembelajaran ibadah dan pengajian Al Quran.

Tambah Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), program ini mengabungkan elemen 7M iaitu Mengaji, Menghafaz, Membaca, Menulis, Mengira, Menaakul dan Manusiawi.

“Pelaksanaan program ini untuk menanam minat anak-anak menghafaz dan mencintai Al-Quran di usia muda melalui kaedah menguasai hafazan surah lazim dalam Juz ‘Amma dan surah pilihan dengan Qiraat, Adab dan Tadabbur,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan sesi Libat Urus Program TABIKA Pra Tahfiz KEMAS Bersama Masyarakat Tahun 2023, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah KEMAS, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Pahang selaku rakan strategik yang akan membantu dari aspek tadbir urus termasuk pengisian modul, teknik hafazan, pemantauan, perkongsian amalan terbaik serta latihan secara berterusan.

Dan sebagai permulaan, seramai seratus ribu kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) disasarkan menjadi `Huffaz Cilik’ tiga tahun lagi melalui program ini.

KEMAS turut mensasarkan penglibatan lebih 1,500 kanak-kanak bimbingannya mampu membaca dan menghafaz sehingga Surah Ad-Dhuha dalam persiapan ke Tahun Satu menjelang akhir sesi persekolahan tahun ini.

Jumlah ini akan bertambah secara berperingkat kepada 4,000 kelas pada tahun hadapan, 3,000 kelas pada tahun 2025 dan menjelang tahun 2026 semua TABIKA KEMAS akan melaksanakan modul Pra Tahfiz ini.

Setakat ini jumlah TABIKA KEMAS seluruh negara adalah sebanyak 10,701 buah membabitkan 216,322 murid.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button