Berita Semasa

Kertas Putih Kesihatan ke Kabinet minggu depan

KUALA LUMPUR – Kertas Putih Kesihatan akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu depan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, selepas mendapat persetujuan Kabinet, Kertas Putih Kesihatan itu akan dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.

“…(Kertas Putih Kesihatan) kena dibentangkan di Kabinet, baru boleh bawa ke Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), di sini hari ini.

Kertas Putih Kesihatan merupakan permulaan perjalanan reformasi sistem kesihatan di Malaysia dan antara teras strategik kertas putih itu ialah memastikan kemampanan pembiayaan penjagaan kesihatan dengan mempelbagaikan sumber pembiayaan untuk kesihatan iaitu tumpuan khusus kepada pembangunan skim insurans kesihatan nasional.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai isu kekurangan jururawat dalam institusi kesihatan swasta, Dr Zaliha berkata, keadaan itu berkemungkinan disebabkan permasalahan pengagihan dan memerlukan langkah peruntukkan semula.

“Perkara ini dalam makluman MOH (Kementerian Kesihatan), kita tengah perhalusi dan APHM sudah buat sesi keterlibatan dengan MOH,” katanya.

Menurut Dr Zaliha antara beberapa perkara yang akan diperhalusi ialah keperluan pengambilan jururawat dari luar negara untuk bantu sektor swasta mengatasi masalah berkenaan.

Terdahulu, Presiden APHM, Dr Kuljit Singh dalam ucapan alu-aluannya berkata, dalam kajian yang dilakukan APHM pada November 2022 yang menerima maklum balas daripada 103 hospital mendapati bahawa sebanyak 9,224 jururawat tambahan diperlukan dari 2023 hingga 2025.

Show More

Related Articles

Back to top button