PendapatRencana

MADANI satu falsafah sosial tolak kebatilan

‘MEMBASMI KEMISKINAN’, ‘Penstrukturan semula ekonomi’ dan ‘Memulih dan menjana ekonomi’ merupakan tonggak kepada kerangka Malaysia MADANI garapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar sedar, bagi mengubah suasana dan halatuju negara, kesejahteraan rakyat perlu dijadikan asas kepada perubahan sistematik yang cuba dilaksanakan ke atas negara.

Dan beliau turut menyedari tiga hal yang paling merosakkan negara iaitu gilakan harta benda, kehilangan moral (rasuah, mencabuli hukum), dan amalan tidak demokratik ketika berhadapan dengan orang yang berbeza pandangan.

MADANI merupakan satu falsafah sosial di mana masyarakat yang sejahtera akan mewujudkan suasana harmoni yang kemudiannya dapat mengekang anasir tidak bermoral daripada terus membiak.

Memetik satu artikel tulisan pemerhati politik, Rahman Imuda, beliau berkata bahawa Anwar pernah berucap membicarakan mengenai konsep masyarakat MADANI pada tahun 1997, dan ucapan tersebut berbunyi:

“Masyarakat Madani yang kita bayangkan diasaskan di atas prinsip akhlak dan pemerintahan berasaskan hukum, bukan oleh nafsu manusia yang tidak menentu.

“Masyarakat di mana pertumbuhan institusi kemasyarakatan – lembaga yang menjadi pengantara antara keluarga dan negara – dipupuk dan bukannya dicantas, di mana kecemerlangan serta cita rasa harus pula menggantikan kelaihan dan kepicisan.

“Justeru itu, kita perlu menghidupkan semangat kebebasan, menyuburkan kemerdekaan diri, mengembalikan nilai keperimanusiaan, dan menyegarkan sikap berlapang dada.

Lantaran itu, prinsip musyawarah dan demokrasi didukung, ia tidak pula disogokkan dan dipaksakan, terutama menurut acuan dan pengalaman Barat.”

Dapat disimpulkan di sini bahawa Anwar sedar masyarakat yang tidak distabilkan dari segi ilmu, emosi dan pendapatan hanya akan menyebabkan persaingan melampau yang kemudiannya akan memporak perandakan kestabilan.

Masyarakat yang sejahtera bencikan kemungkaran, kerana ketinggian adab pekerti dan perkara batil tidak dapat bercampur umpama air dengan minyak.

Cabaran kini bukan sahaja terletak di bahu Perdana Menteri, tetapi juga pada rakyat sama ada mereka mahu menyahut seruan beliau untuk turut sama menggalas tanggung jawab membina negara yang lebih baik, atau membiarkan sahaja keadaan seperti biasa.

Rakyat perlu sedar, para eksekutif yang menerajui negara sekarang mempunyai kuasa politik yang memungkinkan apa yang diimpikan selama ini – kesejahteraan, anti-rasuah, tadbir urus yang efisien – dicapai, dan memerlukan sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam menjadikan apa yang diimpikan selama ini satu kenyataan.

Tepuk dada, tanya selera.

Show More

Related Articles

Back to top button