Berita Semasa

KTMB sediakan empat tren ETS tambahan sempena Aidiladha

CYBERJAYA – Sempena dengan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada hujung bulan Jun ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan empat unit tren tambahan bagi perkhidmatan ETS bagi laluan antara Stesen KL Sentral ke Padang Besar dan KL-Sentral ke Butterworth.

KTMB dalam satu kenyataan berkata, tren tambahan tersebut akan beroperasi selama enam hari bermula 27 Jun hingga 2 Julai 2023.

“Penambahan itu membabitkan tren ETS 9283 dari Padang Besar- KL Sentral dan tren 9286 dari KL Sentral- Padang Besar, serta tren ETS 9181 dari Butterworth- KL Sentral dan destinasi sebaliknya.

“Sebanyak 24 perkhidmatan tambahan ditawarkan untuk tempoh yang dinyatakan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan perkhidmatan ETS yang akan beroperasi dalam tempoh itu adalah sebanyak 36 trip sehari, berbanding pada hari biasa iaitu 32 trip sehari,” kata KTMB.

Sehubungan itu, tiket tren tambahan berkenaan akan mula dijual pada 1 Jun bermula pukul 10 pagi dengan sejumlah 3,780 tiket masing-masing ditawarkan bagi laluan terlibat.

“Penambahan tren ETS ini adalah bagi menampung permintaan tiket kereta api yang tinggi semasa musim perayaan serta bagi mengelakkan kesesakan trafik setiap kali orang ramai pulang ke kampung halaman. Tren tambahan ini menawarkan 1,260 tiket sehari menjadikan jumlah keseluruhan tiket sebanyak 7,560 yang ditawarkan termasuk koc kelas perniagaan,” menurut KTMB.

Dalam masa yang sama, KTMB turut menyarankan orang ramai supaya membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) yang boleh dimuat turun melalui Play Store, Appstore dan App Gallery atau membuat pembelian terus di laman sesawang rasmi KTMB.

Pengguna juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan membuat pembelian lebih awal bagi menikmati tambang fleksi yang lebih menjimatkan serta elakkan pembelian tiket di saat akhir.

Show More

Related Articles

Back to top button