Berita Semasa

‘Jangan guna agama, kaum untuk selamatkan negara’ – Anwar

PORT DICKSON – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru anak muda untuk mempunyai sikap suka menimba ilmu dan menolak segala bentuk kemungkaran, rasuah, kezaliman bagi menentukan masa depan negara.

Beliau berkata, martabat rakyat perlu diangkat dan tidak menjadi alat kepada mana-mana pihak.

“Sebab itu anak muda sekarang mesti sedar masa depan ditentukan mereka dengan syarat punyai komitmen dan sikap suka menimba ilmu dan tolak kemungkaran, rasuah, kezaliman dan angkat martabat rakyat.

“Jangan jadi alat, sebab itu saya kata anak muda jangan jadi pak turut bincanglah secara terbuka, nak kritik nak tegur nak minta ulasan nak beza pandangan silakan. Jangan jadi macai atau walaun. Guna masa untuk berfikir dan menilai,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2023.

Mengulas lanjut, katanya, anak muda juga diseru untuk mengelakkan perseteruan dan perbalahan demi masa depan negara.

Dalam hal ini, katanya, pihaknya telah berusaha membawa tokoh ulama besar dunia contohnya Al Alamah Habib Umar bin Muhammad bin Salim Ben Hafidz dan bekas Mufti Agung Mesir, Al Alamah Syeikh Prof. Dr. Ali Jumuah al Azhari ke Malaysia.

“Kita bawa ulama besar dunia, kupasan mereka kadang-kadang berbeza dengan cara-cara yang disampaikan di bawah yang ajak anak muda anjur perseteruan, perpecahan, hina dan cerca orang lain.

“Bila kita bawa ulama besar, ajar anak-anak muda angkat martabat mereka. Dan ada beza besar antara ulama besar dan tokoh-tokoh kecil

“Ini masa kita, masa kita boleh beri makna kalau ada tekad dan sikap yang betul, mahu kebenaran mahu selematkan negara, jangan guna agama dan kaum untuk selamatkan negara,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button