Berita Semasa

Anwar ucap tahniah kepada Erdogan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang telah memenangi pilihan raya penentu pada Ahad.

Kata Anwar, kejayaan Erdogan mempertahankan kedudukan sebagai presiden membolehkan Turkiye terus memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa, dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan Turkiye untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala sedia ada.

“Tahniah kepada Tuan Yang Terutama Presiden Erdogan kerana dipilih sebagai Presiden ke-13 Republik Turkiye dalam pilihan raya presiden baru-baru ini.

“Turkiye akan terus memainkan peranan membina sebagai pemain serantau dan global yang penting.

“Malaysia berharap untuk bekerjasama rapat dengan Türkiye untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala yang sedia ada,” kata Anwar dalam ciapan di akaun Twitter miliknya.

Erdogan memenangi 52.14 peratus undi dalam pemilihan presiden menentang pesaingnya Kemal Kilicdaroglu, yang memperoleh 47.86 peratus undi.

Beliau menambah, sebanyak 196,744 peti undi atau 99.43 peratus daripada kesemuanya telah dibuka.

Pada pusingan pertama pemilihan presiden pada 14 Mei, Erdogan memperoleh 49.52 peratus undi manakala Kilicdaroglu menerima 44.88 peratus.

Erdogan yang mewakili Perikatan Rakyat, terdiri daripada Parti Keadilan dan Pembangunan yang memerintah dan Parti Gerakan Nasionalis, memperoleh majoriti 323 kerusi dalam parlimen 600 kerusi dalam Pilihan Raya Parlimen, manakala enam parti pembangkang blok Nation Alliance menerima 212 kerusi.

Show More

Related Articles

Back to top button