Berita Semasa

Rombakan kabinet hak mutlak PM – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – Rombakan kabinet Kerajaan Perpaduan adalah berdasarkan budi bicara dan hak mutlak perdana menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perdana menteri juga tidak akan memaklumkan keputusannya kepada jemaah kabinet.

“Lazimnya tiada seorang perdana menteri berbincang dalam (mesyuarat) Kabinet untuk melakukan rombakan,” kata Ahmad Zahid ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus yang tersebar mengenai kemungkinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merombak barisan Jemaah Menteri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Untuk rekod, enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Sementara itu semasa dirujuk mengenai prestasi jemaah menteri ketika ini, Ahmad Zahid berkata pada pandangannya semua menteri telah melaksanakan tugas dengan baik.

Show More

Related Articles

Back to top button