Berita Semasa

Jenazah Awang Askandar tiba di KLIA esok

KUALA LUMPUR – Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 6.25 pagi esok.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, pengurusan membawa balik jenazah warganegara Malaysia yang terkorban dalam ekspedisi pendakian Gunung Everest itu diselaraskan dengan lancar oleh pihak Kedutaan Malaysia di Nepal.

“Jenazah akan dibawa balik ke Kota Kinabalu dengan menaiki pesawat MH2646 pada pukul 11.35 pagi, 27 Mei 2023 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada pukul 2.15 petang.

“Seterusnya, atas permintaan ahli keluarga, jenazah akan dibawa ke kediaman mereka di Kampung Benoni, Papar dan kemudiannya ke Masjid Jamek As-Salam Benoni untuk solat jenazah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Armizan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Benoni dan disemadikan mengikut upacara istiadat penghormatan APM.

Show More

Related Articles

Back to top button