PM X

5G: Pelaksanaan Dwirangkaian agar telco melabur tingkat mutu perkhidmatan – Anwar

KUALA LUMPUR – Peralihan model pelaksanaan 5G daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwirangkaian adalah jalan terbaik bagi meningkatkan mutu rangkaian telekomunikasi di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengalaman puluhan tahun bersama syarikat telekomunikasi yang tidak memberangsangkan dapat dilihat dari sudut ketersambungan, keselesaan pengguna serta dan kos atau bayaran.

Katanya, syarikat telekomunikasi yang mencatat keuntungan yang sangat baik selama ini, dikehendaki melabur supaya menjamin keselamatan, bukan saja dari sudut kemudahan ketersambungan kepada semua rakyat, tetapi juga keselamatan siber.

“Keputusan Jemaah Menteri akhirnya adalah untuk kepentingan keselamatan negara dan kebebasan kita memilih, dengan syarat-syarat yang ketat iaitu meletakkan syarat semua syarikat telekomunikasi menggunakan struktur rangkaian DNB (Digital Nasional Berhad) yang ada sehingga siap 80 peratus, kemudian memastikan ketersambungan dijalankan termasuk di desa dan pedalaman.

“Sekiranya ini dipersetujui maka selepas menggunakan kemudahan yang sama, syarikat telekomunikasi yang mencatat keuntungan yang sangat baik selama ini, dikehendaki melabur supaya menjamin keselamatan, bukan saja dari sudut kemudahan ketersambungan kepada semua rakyat, tetapi juga keselamatan siber.

“Syarat ketat yang kedua adalah harga kepada pengguna mesti di paras rendah seperti yang kita tetapkan di bawah DNB,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Rodziah Ismail (PH – Ampang) dalam sidang Dewan Rakyat, pagi tadi.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri mengakui kawalan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ketika ini sangat terbatas.

Sehubungan dengat itu, peraturan sedia ada akan diperkemas supaya agensi itu dapat melakukan pengawalan lebih berkesan terhadap perjalanan syarikat telekomunikasi termasuk dua rangkaian selepas tamat persiapan awal di bawah DNB.

Pada 3 Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan rangkaian kedua 5G melalui satu entiti baharu yang akan diwujudkan pada awal 2024, serta menukar model pelaksanaan 5G ketika ini daripada SWN kepada dwirangkaian.

Entiti baharu itu akan menjadi rangkaian kedua selepas pelaksanaan 5G ketika ini melalui DNB..

Show More

Related Articles

Back to top button