Berita Semasa

Pendakwah terkenal USA puji layanan Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR – Seorang pendakwah terkenal Amerika Syarikat, Dr Muhammad Salah memuji layanan sebuah syarikat penerbangan Malaysia yang membenarkannya untuk solat di dalam kapal terbang.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Dr Muhammad berkata, krew penerbangan syarikat Malaysia Airlines bukan sahaja membenarkannya menunaikan ibadah solat, malah membawanya ke ruangan khas untuk solat selain menunjukkan arah kiblat.

“Saya mahu berkongsi pengalaman yang menarik semasa menaiki penerbangan dengan pesawat Malaysia Airlines.

“Perjalanan yang panjang menyebabkan saya terpaksa menunaikan dua solat di dalam pesawat sebelum matahari terbenam.

“Selepas mengambil wuduk, saya bertanyakan krew pesawat sekiranya saya boleh bersolat di ruang tempat mereka menyediakan makanan kerana solat di tempat duduk agak tidak selesa.

“Mereka memberikan jawapan yang menakjubkan. Mereka bawa saya ke ruang yang cukup untuk saya mengerjakan solat, lengkap dengan tirai dan tunjukkan saya arah kiblat,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua krew Malaysia Airlines atas keprihatinan dan memahami keperluan seorang muslim.

“Terima kasih Malaysia dan terima kasih Malaysia Airlines.” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button