Berita Semasa

Pendaki negara berjaya tawan ‘World 7 Summit’

CYBERJAYA – Pendaki negara, RJ Nagarajan hari ini berjaya menawan Gunung Everest apabila beliau berjaya mengibarkan bendera Malaysia di puncak tertinggi dunia itu pada pukul 10.30 pagi (waktu tempatan) tadi.

Kejayaan tersebut menjadikan Nagarajan sebagai anak Malaysia keempat yang berjaya menawan kesemua tujuh puncak tertinggi di tujuh benua yang dikenali sebagai World 7 Summit.

Gunung Everest yang terletak di Nepal dengan ketinggian 8848 meter (m) merupakan puncak tertinggi di benua Asia dan dunia.

Kejayaan Nagarajan atau lebih dikenali sebagai RJ itu dikongsikan oleh pengasas Projek ZEROTO8000, Khafiz Bachok di laman Facebook miliknya, sebentar tadi.

“Tahniah RJ kerana berjaya tiba di puncak Everest pada pukul 10.30 pagi tadi.

“Ini bermakna, beliau sudah berjaya menghabiskan pendakian World 7 Summit. Moga RJ selamat tiba di basecamp nanti,” kata Khafiz dalam hantaran tersebut.

Sebelum ini, RJ telah berjaya mendaki puncak tertinggi benua Amerika Selatan, Gunung Aconcagua (6961m)di Argentina, diikuti puncak tertinggi benua Amerika Utara iaitu Gunung Denali (6194m) di Amerika Syarikat dan kemudiannya puncak tertinggi benua Afrika, Gunung Kilimanjaro (5895m) di Tanzania.

Seterusnya, RJ turut berjaya menawan puncak tertinggi benua Eropah, Gunung Elbrus (5642m) di Rusia, diikuti puncak tertinggi benua Antartika, Gunung Vinson (4892m) dan seterusnya puncak tertinggi benua Australia, Gunung Kosciuszko (2228m).

RJ mengambil masa selama tujuh tahun bagi melengkapi semua pendakian tersebut.

Sementara itu, RJ dalam satu kenyataan akhbar berkata, mesej yang beliau ingin sampaikan adalah perlunya semangat berdikari dalam mengejar impian dan mencipta kejayaan.

Beliau sendiri melakukan semua pendakian ini dengan bekerja keras mengumpul dana sendiri dan kini terbukti beliau telah berjaya dan semangat inilah yang sedang diterapkan di dalam minda rakyat Malaysia oleh ZEROTO8000, bukan hanya dalam aktiviti pendakian, tetapi dalam apa jua impian yang dimiliki oleh mereka.

Show More

Related Articles

Back to top button