Berita Semasa

‘Sekiranya mangsa termasuk dalam rekahan maka usaha mencari semakin sukar’

Operasi SAR pendaki negara dijangka sukar

CYBERJAYA – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki negara, Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest, berkemungkinan berhadapan kesukaran sekiranya beliau terjatuh di kawasan kaki Gunung Lhotse.

Menurut rakyat Malaysia pertama menjejakkan kaki di puncak Gunung Everest Datuk M. Magendran, lereng Gunung Lhotse sangat curam, dan sekiranya pendaki tergelongsor, mereka boleh terjatuh ke kawasan kaki gunung yang penuh dengan glasier yang diliputi serpihan dan rekahan ais.

“Kawasan kaki Gunung Lhotse agak luas dan perlukan masa yang lama untuk cari, ditambah dengan rekahan ais yang ada… sekiranya mangsa termasuk dalam rekahan maka usaha mencari semakin sukar,” katanya dalam ditemu bual secara dalam talian dengan Bernama TV, hari ini.

Magendran yang berjaya menakluk Gunung Everest pada 1997 bagaimanapun berkata, meskipun usaha mencari bakal berhadapan kesukaran, namun ia tidak mustahil untuk menemukan mangsa berdasarkan pengalaman pada tahun 1997, apabila seorang ‘sherpa’ yang tergelincir dan jatuh di lereng Gunung Lhotse dari ketinggian 1,000 meter ke bawah, berjaya ditemui.

Apa yang dibimbangi sekarang, kata Magendran, adalah sama ada mangsa yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran, membawa bekalan oksigen yang mencukupi untuk menuruni lereng Gunung Lhotse yang begitu berbahaya.

“Jika beliau telah gunakan oksigen sepanjang naik ke puncak Gunung Everest, oksigen dalam balang yang dibawanya tidak cukup untuk digunakan bagi menuruni gunung hingga ke Kem 4… tetapi mungkin juga dalam perjalanan beliau telah tukar balang oksigen.

“Jadi saya tidak pasti sama ada rakan pendaki kita ini sudah tukar balang oksigen baharu atau sudah bawa bekalan oksigen tambahan, semasa beliau buat keputusan untuk turun ke Kem 3 atau Kem 2… itu satu persoalan yang kita tidak tahu. Jika oksigen tidak mencukupi seseorang itu boleh mengalami Akut Gunung (AMS) yang boleh sebabkan mangsa berilusi,” katanya lagi.

Semalam, Muhammad Hawari yang merupakan antara peserta misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023), dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

Sehari sebelumnya, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, yang juga antara peserta ME 2023, dilaporkan meninggal dunia.

Show More

Related Articles

Back to top button