Berita Semasa

Operasi kesan pendaki negara hilang diteruskan menerusi laluan darat

KATHMANDU – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang Jumaat lalu selepas berjaya menawan puncak Everest, akan diteruskan hari ini melalui laluan darat selepas kelibatnya gagal dikesan melalui udara.

Menurut Pengurus Pasukan ME 2023, Ayu Wanirah Naharuddin, operasi SAR semalam dilakukan melalui udara yang turut disertai salah seorang pendaki negara, Azim Afif namun kelibat Hawari, 33, masih belum dapat dikesan.

Menceritakan pada hari kejadian, dia bersama Azim dan seorang lagi pendaki negara, Tiong Ling Yang berada di kem dua menerima berita mengejutkan itu dari malim gunung yang menghubunginya melalui walkie-talkie.

Menurutnya, kali terakhir mereka dapat berhubung dengan Hawari adalah selepas beliau berjaya menawan puncak pada Khamis lalu pukul 3.30 petang waktu Nepal (5.45 petang waktu Malaysia) untuk berkongsi kejayaan dicapainya itu melalui walkie talkie.

“Menyedari kehilangan Hawari, satu operasi menyelamat (SAR) digerakkan pada hari sama disertai lapan malim gunung sehingga pukul 11 malam.

“Mereka melakukan pemeriksaan di setiap khemah bermula dari kem empat hingga dua bagi memastikan sama ada beliau ada singgah menumpang berteduh dan berehat namun gagal dikesan,” katanya.

Menurut sumber, Hawari keluar dari khemah di kem empat (8,000 meter dari aras laut) tanpa pengetahuan malim gunung.

Sementara itu, setakat semalam, jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia akibat terjatuh masih berada di kem empat dan belum dapat dibawa turun atas beberapa faktor termasuk cuaca.

Show More

Related Articles

Back to top button