Berita Semasa

Kementerian Luar bantu bawa turun jenazah Awang Askandar

Turut sahkan seorang lagi pendaki negara hilang ketika dalam perjalanan turun dari Gunung Everest

CYBERJAYA – Kementerian Luar sedang membantu untuk membawa turun jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia kelmarin sewaktu dalam Misi Malaysia Everest 2023.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan semalam memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu turut membantu membawa turun jenazah Awang Askandar dari Gunung Everest ke hospital di Kathmandu bagi tujuan bedah siasat dan pengurusan jenazah.

Kenyataan itu turut mengesahkan Allahyarham meninggal dunia kelmarin pada usia 56 tahun semasa dalam Misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023).

“Kementerian Luar menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solihin,” kata kenyataan itu.

Ekspedisi tersebut disertai oleh Allahyarham bersama dengan tiga orang pendaki dan seorang anggota sokongan.

Kementerian Luar turut mengesahkan kehilangan Muhammad Hawari Hashim, 33, salah seorang peserta ekspedisi itu yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.

“Beliau dipercayai telah berjaya sampai di puncak Gunung Everest dan telah bergerak turun selepas itu namun masih belum dapat dikesan sehingga kini.

Wakil Kedutaan sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang sedang giat menjalankan usaha pencarian mangsa di sekitar kawasan tersebut,” katanya.

Sebarang perkembangan terkini misi pencarian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

ME 2023 yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud, memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April sehingga 2 Jun, dengan mendapat sokongan kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Misi itu turut mempromosi perpaduan dan membina bangsa Malaysia melalui kepelbagaian bangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button