Jenayah & Mahkamah

Didakwa cuai jaga bayi di taska, pengasuh mengaku salah

Rakaman aksi tertuduh sebelum ini menjadi tular di media sosial

JOHOR BAHRU – Seorang pengasuh taska mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan bertindak cuai yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap dua bayi, Mac lalu.

Tertuduh, Nurul Shahira A’shiqin Sulaiman, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mahkamah menetapkan 2 Ogos depan untuk fakta dan hukuman.

Sebelum ini, rakaman aksi tertuduh menjadi tular di media sosial menyebabkan ramai pengguna berasa marah dengan tindakannya.

Berdasarkan dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa bertindak cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal kepada seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki sembilan bulan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Utama 34, Taman Mutiara Rini di sini, kira-kira pukul 1 petang, Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebagai tambahan, tertuduh boleh dikenakan bon berkelakuan baik dan melaksanakan khidmat masyarakat.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah .

Tertuduh juga dilarang mengganggu mangsa dan saksi kes.

Show More

Related Articles

Back to top button