Berita Semasa

Dinding rumah runtuh, suami isteri berdepan detik cemas

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila dinding rumah yang didiaminya di sini, runtuh akibat ribut kuat yang melanda ibu negara semalam.

Menceritakan semula detik cemas itu, penghuni Perumahan Awam Loke Yew, Faridah Saim, berkata, dia hanya mampu melihat barang berterbangan akibat ditiup angin kencang setelah dinding rumahnya runtuh.

Menurut Faridah, 54, ketika kejadian dia dan suami, Nazri Nasir, 55, berada di rumah terbabit.

“Ketika itu, saya sedang mengambil pakaian yang dijemur di balkoni, manakala suami pula sedang bersiap menunaikan solat Magrib di bilik berkenaan sebelum angin kuat memasuki rumah.

“Angin kuat dari arah balkoni masuk ke ruangan bilik itu yang terbuka pintunya sebelum saya lihat ada regangan pada dinding papan.

“Dalam hanya beberapa saat sahaja, saya lihat dinding itu tercabut separuh sebelum lenyap sepenuhnya diterbangkan angin. Ada beberapa pakaian, langsir serta beg di dalam bilik itu turut diterbangkan angin,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Susulan kejadian itu, Faridah kemudian meminta bantuan jiran untuk membantu mengalihkan barang di bilik berkenaan.

“Saya ada dengar jiran-jiran lain juga menjerit dan melaungkan kalimah Allah ketika angin kuat melanda rumah mereka. Mujur tiada sesiapa yang cedera dalam insiden ini.

“Ini adalah kejadian kedua membabitkan insiden dinding tercabut apabila ribut dan ada jiran sudah menyuarakan kebimbangan mengenai isu sama berulang kali kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya lagi.

Beliau yang juga suri rumah berkata, sebahagian dinding bangunan itu dibina diperbuat daripada papan dan pihaknya bimbang ia tidak begitu kukuh dengan keadaan angin kuat terutama pada waktu ribut.

“Pada hari biasa sahaja angin sudah begitu kuat memandangkan kebanyakan pokok di kawasan sekitar sudah ditebang.

“Perkara ini menyebabkan kami (penduduk) bimbang terhadap keselamatan dan keadaan struktur rumah terutama ketika ribut.

“Selepas kejadian dinding tercabut di bangunan ini pada 2014, ada jiran yang tampil membuat aduan kepada DBKL bagi mengatasi masalah ini, namun perkara ini berulang semula,” katanya yang sudah menetap di rumah itu sejak 28 tahun lalu.

Beliau berharap isu itu dapat ditangani dengan segera bagi mengelakkan masalah sama berlaku pada masa akan datang.

Bertindak atas laporan, kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang dalam proses membina semula dinding bilik berkenaan menggunakan bata hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button