Berita Semasa

3 kritikal, 6 cedera dirempuh ketika beli nasi lemak

JITRA – Dua peniaga nasi lemak yang juga pasangan suami isteri dilaporkan kritikal, manakala enam lagi cedera selepas dirempuh sebuah yang terbabas di Jalan Hospital, Taman Suria, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, dalam kemalangan yang berlaku pada jam 8.25 pagi itu seorang lagi mangsa yang sedang beratur di gerai nasi lemak di tepi jalan milik pasangan suami isteri terbabit turut kritikal.

Katanya, tiga mangsa yang kritikal itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala mangsa lain yang cedera dihantar ke Hospital Jitra (HJ) di sini.

“Siasatan awal mendapati, kereta PROTON Satria yang dipandu lelaki berusia 20 tahun itu dipercayai terbabas dan melanggar tiga kereta dan enam motosikal yang parkir di tepi jalan serta merempuh orang ramai yang sedang beratur di gerai nasi lemak itu.

“Semua kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu kebanyakannya berhenti di tepi jalan untuk membeli nasi lemak di situ.

“Sembilan mangsa cedera dalam kejadian itu dengan tiga daripadanya termasuk pasangan suami yang peniaga nasi lemak di gerai itu parah dan kritikal.

“Pemandu PROTON Satria itu cedera ringan dan dirawat di hospital,” katanya memetik laporan BH, hari ini.

Kemalangan itu menyebabkan kereta PROTON Satria berkenaan terbalik dengan keempat-empat tayarnya berada di atas.

Rodzi berkata, berdasarkan siasatan, pemandu kereta PROTON Satria itu berasal dari Jitra, di sini dan tidak memiliki lesen memandu, manakala cukai jalan dan insurans kereta itu pula sudah tamat tempoh.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan setakat ini untuk mengenal pasti punca kemalangan berlaku.

Show More

Related Articles

Back to top button