Sukan

Beri tumpuan kepada acara ‘lubuk emas’

Gagal tepati sasaran Sukan SEA bukan kegagalan sepenuhnya

KUALA LUMPUR – Kementerian belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) perlu membuat perancangan terbaik dengan menilai sukan-sukan yang berpotensi menyumbang lebih banyak pingat kepada kontinjen Malaysia dalam mana-mana temasya yang disertai pada masa hadapan.

Menurut Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, langkah itu diyakini dapat membantu kontinjen negara dalam soal kutipan pingat dan untuk tujuan tersebut antara pendekatan yang perlu dilakukan termasuk menambah peruntukan kewangan, menghantar atlet berpotensi untuk berlatih di luar negara, selain merangka program latihan yang lebih baik.

Bagaimanapun, katanya, tumpuan kepada acara ‘lubuk emas’ seperti olahraga dan renang bukan bermakna agensi yang bertanggungjawab meningkatkan mutu sukan tersebut perlu meminggirkan sukan-sukan lain yang turut berpotensi menyumbang pingat emas buat negara.

“Selain itu, persatuan sukan di negara ini perlu memberikan maklumat yang tepat kepada KBS, MSN dan juga Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi mengelak sasaran yang diletakkan dalam mana-mana kejohanan lebih bersifat ‘syok sendiri’ dan gagal direalisasikan oleh atlet.

“Ketiadaan maklumat tepat berisiko menyebabkan sasaran yang ditetapkan buat kontinjen negara gagal direalisasikan seperti mana yang berlaku di Sukan SEA Kemboja 2023 apabila Malaysia membawa pulang 34 pingat emas berbanding 40 emas yang disasarkan,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.

Kontinjen Malaysia dalam sukan tersebut yang melabuhkan tirainya semalam merekodkan pencapaian terburuk dengan hanya mampu meraih 34 pingat emas dan berada di kedudukan ketujuh secara keseluruhan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, kegagalan di Sukan SEA tersebut juga tidak wajar diletakkan di atas bahu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli Abdul halim sepenuhnya, sebaliknya semua pihak perlu mengambil tanggungjawab itu termasuk pemimpin persatuan sukan.

Ini kerana katanya, sasaran yang diletakkan persatuan sukan juga perlu realistik dengan kemampuan atlet masing-masing dan bukan hanya ‘gah’ dengan sasaran.

Pesilat negara, Muhammad Izzul Irfan Marzuki menjelmakan pingat emas ketiga buat kem silat negara di temasya Sukan SEA Kemboja 2023

“Berdasarkan pencapaian atlet negara di Sukan SEA Kemboja, Malaysia tidak gagal sepenuhnya biarpun gagal menepati sasaran kerana atlet-atlet muda yang dihantar berjaya melakar kejutan dan menempa kejayaan termasuk memecahkan rekod kebangsaan.

“Pendedahan kepada barisan atlet muda dan kejayaan yang dicapai mereka juga merupakan petanda positif untuk pencapain sukan negara selain akan menjadi persiapan terbaik menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand dan juga Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2027,” katanya.

Untuk rekod, pada temasya Sukan SEA Kemboja, Malaysia menampilkan 387 orang atau 56.33 peratus atlet berusia bawah umur 23 tahun dalam pelbagai jenis sukan.

Daripada jumlah tersebut, 65 peratus atlet membuat penampilan pertama di Sukan SEA sekali gus membuktikan kita sebenarnya berani memberi peluang kepada atlet muda yang bakal menjadi aset sukan negara pada masa hadapan.

Show More

Related Articles

Back to top button