Berita Semasa

Kalimah Allah: Anwar tempelak pihak tuduhnya liberal, tunduk pada DAP

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak yang menuduhnya sebagai liberal berhubung keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’.

Beliau berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dipolemikkan berikutan tidak membabitkan perubahan peringkat dasar dan sejak sekian lama pentadbiran kerajaan bersilih ganti antara parti, namun keputusan mahkamah itu tetap diguna pakai sehingga sekarang.

“Tak apalah tak setuju tetapi itu keputusan lama dan dipakai kerajaan terdahulu pun dari Barisan Nasional (BN) ke Perikatan Nasional (PN), daripada UMNO ke PAS dan BERSATU sampailah sekarang, itulah dasarnya.

“Dasarnya iaitu tidak boleh dibenarkan istilah ‘Allah’ digunakan oleh bukan Islam termasuk dalam kitab-kitab mereka. Jadi perkataan ‘Allah’ untuk umat Islam di Semenanjung Malaysia dan begitu juga di Sabah dan Sarawak dengan beberapa syarat, tiada perubahan dengan yang sebelum ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra di Dewan Saidina Abu Bakar di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini, hari ini

Dalam pada itu, Anwar mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang melabelnya sebagai seorang yang liberal susulan perkembangan dalam isu berkaitan kalimah Allah itu.

“Nak riuh rendah mengenainya pasal apa? Apa yang tak kena? Ohhh…(tuduh) Anwar memang liberal, tunduk kepada DAP dan sekarang memang betullah nak merosakkan akidah umat Islam. Apa benda ini?” katanya.

Mengulas perkenaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, ia bagi memperkemas beberapa perkara yang dirasakan longgar, bukannya bertujuan mengubah dasar mengenai penggunaan kalimah ‘Allah’.

Beliau, tindakan memperkemas itu terutamanya mengenai kelompongan kerana adanya perkara yang tidak jelas dari sudut tindakan dan penguatkuasan.

“Dasar tak berubah kerana di Perak, di Pulau Pinang, di Selangor, di Johor tidak boleh yang bukan Islam menggunakan ‘Allah’. Ini keputusan mufti-mufti, keputusan Raja-Raja Melayu. Tak ada perubahan.

“Jadi semalam, (mengenai) ketetapan Jemaah Menteri itu kerana dia ada masalah sedikit kerana peraturan kita tak jelas dari segi kastam untuk ambil tindakan dan sebagainya, maka kita kaji itu.

“Kita kaji dan perkemaskan supaya keputusan itu tak berubah. Saya rasakan hendak perkemaskan dua tiga (perkara) yang longgar ini. Sebab itu kita minta perkenan Agong untuk kita bentangkan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu yang akan datang,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button