Politik

Calon PN di Terengganu, Kelantan guna logo PAS

KUALA LUMPUR –   Calon Perikatan Nasional (PN) di Kelantan dan Terengganu akan menggunakan logo parti PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.

Manakala calon di empat negeri lain iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah pula akan menggunakan logo PN, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Katanya, dari segi agihan kerusi antara parti gabungan PN kini hampir siap dengan 95 peratus sudah selesai.

“Logo pada PRN masih kekal. Di Kelantan, Terengganu kekal guna logo PAS, empat negeri lain, calon guna logo PN.

“Boleh dikatakan 95 peratus sudah selesai, pembahagian kerusi parti komponen, terpulang kepada parti untuk tentukan calon-calonnya yang boleh menang,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menjelaskan, hanya beberapa kerusi di Selangor dan Negeri Sembilan yang belum selesai buat masa ini.

“Nama calon yang bakal bertanding pula akan dicadangkan oleh pimpinan negeri Bersatu dan juga PAS sebelum jawatankuasa di peringkat Pusat membuat keputusan,” katanya.

Katanya, dari segi formula agihan kerusi PAS dan Bersatu masih mengekalkan formula sama yang digunapakai seperti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Tambahnya, pembubaran DUN di enam buah negeri tersebut dijangka berlaku penghujung bulan ini. 

Show More

Related Articles

Back to top button