Berita Semasa

Kerajaan komited sediakan tempat tinggal selesa kepada golongan miskin bandar

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus berusaha meningkatkan taraf hidup masyarakat miskin bandar termasuk memberi peluang kepada mereka untuk menikmati kemudahan tempat tinggal yang lebih selesa.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya akan berusaha sedaya upaya mengajak rakan-rakan strategik untuk turut serta dalam segala bentuk inisiatif yang dilaksanakan bagi membantu golongan tersebut.

Buat masa ini, salah satu skim yang disediakan bagi membantu golongan tersebut ialah Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan yang memberikan peluang penduduk miskin menerima bantuan baik pulih rumah.

“Setakat ini kita mula dengan sebuah rumah, kalau yang perlu dibantu mereka boleh menghubungi Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak,” kata Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penyampaian kunci rumah kepada penerima pertama Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan di Pangsapuri Seri Penara, di sini hari ini.

Program tersebut merupakan inisiatif Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dan Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak.

Turut hadir, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin.

Penerima pertama inisiatif tersebut, Hamidah Moin, 63 dipilih berdasarkan kesusahan hidup yang dilaluinya bersama keluarga selain tidak mempunyai sumber pendapatan tinggi dan memelihara anak orang kurang upaya (OKU).

“Pemberian kunci rumah ini sebagai tanda pasukan kami di Bandar Tun Razak komited untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat miskin bandar.

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk mencari rakan strategik untuk bersama mendukung konsep Madani dan menterjemahkan sampai ke peringkat mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menyedari terdapat banyak rumah yang perlu dibantu namun tidak dapat untuk melaksanakan kesemuanya.

“Kita mulakan dengan satu dulu, sebab kita pun perlu cari kontraktor yang boleh bekerjasama dengan memberikan harga yang berpatutan, kita tahu perlu ada margin tapi biarlah tidak banyak sangat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan penduduk dapat memastikan kawasan tempat tinggal mereka dalam keadaan bersih dan harmoni.

Show More

Related Articles

Back to top button