Berita Semasa

Ada Ketua Polis Daerah tidak puas hati D7 Bukit Aman buat operasi – Ayob Khan

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mengingatkan setiap ketua polis daerah untuk tidak mengambil ringan terhadap ‘Surat Aku Janji’ tiada sebarang aktiviti judi di daerah pentadbiran masing-masing.

Menurut Ayob Khan, surat yang ditandatangani setiap bulan itu tidak sepatutnya dijadikan ‘kertas tisu’ yang tiada nilai walaupun tiada lagi amaran diberi.

“Sepatutnya semua OCPD yang setiap bulan menandatangani Aku Janji tiada sebarang aktiviti judi di daerah masing-masing berpegang teguh kepada Aku Janji itu,” katanya.

Kenyataan tersebut adalah susulan daripada maklumat bahawa ada dalam kalangan ketua polis daerah kontinjen Kuala Lumpur tidak berpuas hati apabila diminta untuk menghantar Task Force D7 JSJ Bukit Aman bagi mengambil tindakan ke atas premis judi dalam talian.

Terdahulu, Ayob Khan menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Tambah Ayob Khan, beliau ada menubuhkan task force kecil JSJ bagi memantau sebarang jenayah di seluruh kontinjen polis negeri dan daerah.

“Task force berkenaan baru ditubuhkan dan mereka ini akan turun padang memantau penugasan polis kontinjen negeri dan daerah, fokus task force ini bukan hanya judi malah semua jenis jenayah,” katanya.

Beliau berkata, kekurangan pemantauan dan penyeliaan di peringkat polis kontinjen negeri dan daerah menyebabkan kegiatan judi haram masih berleluasa.

“Saya akan turun secara mengejut untuk membuat pemeriksaan dan saya takkan hantar task force ke semua kontinjen dan daerah.

“Kami akan buat pemeriksaan mengejut kalau ada maklumat mereka tidak ambil tindakan dan saya akan kenakan tindakan tatatertib kepada ketua polis daerah sebab ‘Aku Janji’ sudah ada,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button