Berita Semasa

Perwakilan dan pemimpin 19 parti Kerajaan Perpaduan berkampung di WTC hari ini

KUALA LUMPUR – Lebih 8,000 perwakilan dan pemimpin parti-parti politik Kerajaan Perpaduan memenuhi Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pagi ini.

Konvensyen yang diadakan buat julung kali itu menyaksikan perwakilan dari 19 buah parti di bawah Kerajaan Perpaduan mula memenuhi dua dewan utama iaitu Dewan Tun Dr. Ismail dan Dewan Tun Hussein On sejak 10 pagi tadi.

Tirai persidangan pagi ini dibuka dengan Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan yang berlangsung serentak.

Konvensyen Wanita akan memfokuskan kepada agenda ekonomi, pembinaan negara bangsa dan peranan wanita dalam konteks Malaysia MADANI.

Difahamkan juga, satu lagi sayap baharu dijadualkan dilancar pada konvensyen itu iaitu Geng Perpaduan yang melibatkan keanggotaan semua sayap parti gabungan.

Penubuhan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan PH-BN memperkukuhkan kerjasama dan mengatur gerak dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ia dianggotai oleh pemuda Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan.

Tumpuan lain persidangan termasuk Bicara Rakyat yang akan dibawa oleh pemimpin utama Kerajaan Perpaduan untuk membicarakan komitmen kerajaan menyelesaikan isu rakyat pada pukul 2 petang ini.

Kemuncak acara bertemakan ‘MADANI Mewajahi Masa Depan Malaysia’ itu dijadualkan bermula pada 3.30 petang melalui amanat Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Show More

Related Articles

Back to top button