Bisnes & Ekonomi

Kadar inflasi suku pertama 2023 menurun ke 3.6 peratus

KUALA LUMPUR – Kadar inflasi negara pada suku pertama 2023 menurun kepada 3.6 peratus berbanding 3.9 peratus pada suku keempat 2022.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, faktor utama yang menyebabkan penurunan itu adalah disebabkan terutamanya oleh inflasi teras yang sederhana dan harga minyak RON97 yang lebih rendah.

“Pengurangan inflasi teras pada 3.9 peratus pada suku pertama 2023 berbanding 4.2 peratus pada suku keempat 2022 sebahagian besarnya disumbangkan oleh perkhidmatan terpilih.

“Perkhidmatan itu termasuk perkhidmatan telefon dan telefaks, makanan di luar rumah serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian,” katanya pada sidang akhbar prestasi ekonomi suku pertama 2023, di sini hari ini.

Pada 2023, kata Nor Shamsiah, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana namun kekal melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini.

“Inflasi yang sederhana ini mencerminkan faktor kos global yang lebih rendah berikutan gangguan rantaian bekalan yang semakin reda dan harga komoditi yang lebih rendah,” katanya lagi.

Kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada akan terus membendung sebahagian kesan kenaikan tekanan inflasi.

“Imbangan risiko bagi prospek inflasi cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan terus bergantung pada sebarang perubahan pada dasar dalam negeri, perkembangan pasaran kewangan dan harga komoditi global,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button