Berita Semasa

FamilyMart hentikan penjualan alkohol di semua 360 outletnya sejak Mac

CYBERJAYA – FamilyMart Malaysia telah menghentikan penjualan minuman alkohol di semua 360 buah outletnya bagi memberikan keyakinan tambahan kepada para pelanggannya.

Pengarah Urusan QL Maxincome Sdn Bhd, Chia Lik Khai berkata penghentian jualan itu dilaksanakan sejak Mac lepas dan dibuat bagi memastikan pelanggannya berbelanja dan menjamu selera tanpa was-was di premis mereka.

“Minuman alkohol adalah penyumbang kecil dalam perniagaan kami setakat ini. Jadi, kami menjangkakan kesannya adalah amat minimum dan kami menumpukan perbelanjaan kepada makanan dan minuman untuk menampung jualan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengumuman produk FamilyMart Malaysia iaitu FamiCafé di Menara U, di sini yang mendapat pensijilan halal pertama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), menjadikan kafe kedai serbaneka pertama di Malaysia menerima pengiktirafan itu.

Chia berkata konsep yang disahkan halal tersebut menyajikan minuman dan makanan yang sedia untuk dimakan termasuk oden, snek panas seperti chiki katsu rangup dan sosej (corndog), serta sofuto.

Katanya sehingga kini terdapat 16 FamiCafé di Malaysia, dengan sasaran untuk membuka 50 FamiCafé menjelang akhir tahun ini selain menyasarkan status halal untuk 300 FamiCafé menjelang 2025.

Selari dengan usaha berterusan dalam memastikan para pelanggan berbelanja dan menjamu selera tanpa was-was, Chia berkata, FamilyMart akan menjalani audit halal secara berperingkat mengikut panduan Jakim dan prosesnya telah bermula di dua kedai lain yang terletak di sekitar Lembah Klang.

Selain itu, tambahnya, pusat penyediaan makanan FamilyMart Malaysia yang dikendalikan oleh QL Kitchen telah diiktiraf halal oleh Jakim sejak 2019 dan setakat 30 April lepas, 172 produk makanan jenama FamilyMart didaftarkan halal di portal halal rasmi Jakim.

Show More

Related Articles

Back to top button