Berita Semasa

Kanak-kanak berusia 6 tahun pandu kereta sejauh 2.5 KM hingga kemalangan di Langkawi

LANGKAWI – Seorang kanak-kanak berusia 6 tahun memandu sebuah kereta sejauh 2.5 kilometer dengan adiknya yang berusia tiga tahun sehingga terlibat dalam satu kemalangan di sini, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari, kejadian dalam video tular itu berlaku di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, berhampiran Kampung Titi Chanwang jam 11.15 malam.

“Kereta tersebut dipandu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun sejauh kira-kira 2.5 km dari rumahnya bersama adik lelakinya yang menjadi penumpang.

“Mereka dari arah Ulu Melaka ke Nyior Chabang dan ketika sampai tempat kejadian kenderaan itu dipercayai terbabas sebelum melanggar tiang lampu berhampiran Titi Chanwang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shariman berkata, pemandu kenderaan tersebut mengalami luka kecil di bahagian dagu, namun penumpang berkenaan tidak mengalami apa-apa kecederaan. Kereta tersebut pula mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kiri.

Tambahnya, siasatan awal mendapati bapa kedua-dua beradik itu sedang tidur, manakala ibu berada bersama mereka sebelum ke bilik air.

“Selepas keluar bilik air, wanita itu mendapati kedua-dua anaknya tiada dalam rumah,” katanya yang memaklumkan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu tular video memaparkan kenderaan berwarna putih itu terbabas tular di media sosial.

Menerusi video tersebut, kanak-kanak berusia enam tahun itu didapati tenang dan berulang kali memberitahu mahu ke kedai bersama adiknya ketika orang ramai bertanyakan di mana ibu bapa mereka.

Show More

Related Articles

Back to top button