Berita Semasa

Fahmi Fadzil sebak tonton filem Anwar: The Untold Story, ajak orang ramai ke pawagam

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengajak orang ramai menyaksikan filem Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anwar: The Untold Story yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 18 Mei ini.

Fahmi berkata, secara peribadi beliau sebak melihat paparan perjalanan hidup Anwar yang dipertontonkan dalam filem berkenaan.

“Melihat semula perjalanan penuh liku Datuk Seri Anwar dimainkan membuatkan kami semua sebak, apatah lagi ahli keluarga beliau yang menonton.

“Saya sarankan rakan-rakan untuk turun ke pawagam pada 18 Mei ini untuk saksikan tayangan hari pertama filem ini,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.

Semalam, tayangan perdana filem tersebut diadakan dengan dihadiri Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi itu dibintangi Farid Kamil yang membawa watak Anwar dan aktres Indonesia, Acha Septriasa sebagai Dr Wan Azizah.

Filem berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 itu menceritakan mengenai perjalanan hidup Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta perjuangannya dalam menentang amalan rasuah.

Show More

Related Articles

Back to top button