Berita Semasa

‘Terlalu memilih pekerjaan’ faktor utama kadar pengangguran tinggi di Kelantan

KOTA BHARU – Faktor ‘terlalu memilih pekerjaan’ dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada kadar pengangguran yang tinggi di negeri Kelantan.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri, Nora Yaacob berkata, kadar pengangguran di negeri tersebut berada pada 4.1 peratus pada Februari lalu, lebih tinggi berbanding kadar nasional iaitu 3.6 peratus.

“Masih terdapat rakyat di negeri ini yang memilih kerja, tidak mahu keluar dari Kelantan dan mahu kerja di negeri sendiri.

“Selain itu, kebanyakan rakyat negeri ini bekerja sendiri dan tidak formal. Faktor ini menyebabkan kadar pengangguran tinggi iaitu 4.6 peratus pada Disember tahun lepas, Januari (4.4 peratus), dan Februari (4.1 peratus),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Raya Perkeso Kelantan di Wisma Perkeso, hari ini.

Nora berkata, bagi mengurangkan kadar pengangguran itu, pihaknya bercadang untuk mendapatkan penempatan pekerjaan sebanyak mungkin bagi membantu rakyat yang mahu bekerja.

“Sasaran penempatan yang ditetapkan tahun ini adalah 6,800. Tahun lepas kita berjaya capai sasaran apabila berjaya menempatkan 5,500 individu bekerja,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button