Status bekalan air Pulau Pinang ditahap waspada
GEORGETOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menasihatkan orang ramai di negeri ini supaya menjimatkan penggunaan air ekoran bekalan air negeri yang berada pada tahap waspada ekoran taburan hujan yang rendah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, K Pathmanathan berkata, selain taburan hujan rendah sejak 1 Januari lalu, faktor lain penyusutan rizab empangan berpunca daripada penggunaan air yang tinggi terutamanya pengguna domestik pada kadar 61.6 peratus pada tahun lalu.
“Ini adalah rayuan yang mendesak dan ia begitu relevan kepada pengguna air domestik di Air Itam, Paya Terubong serta semua kawasan perkhidmatan lain yang berdekatan Empangan Air Itam.
“Sama-sama bantu kami untuk memulihara rizab Empangan Air Itam selama mungkin dan ia adalah empangan terkecil di Pulau Pinang lebih-lebih lagi kita mungkin menghadapi fenomena El Nino tahun ini.
“Sekiranya kapasiti efektifnya mencecah sifar peratus tiada lagi air yang tinggal untuk dibekalkan ke Air Itam, Paya Terubong dan kawasan berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pathmanathan berkata, ketika gelombang pertama pembenihan awan dengan rizab air mentah di Empangan Air Itam dan Teluk Bahang masih di bawah 50 peratus.
Katanya, pihaknya turut mengesyorkan dan berharap operasi pembenihan awan gelombang kedua dapat dilakukan di Pulau Pinang tidak lama lagi bagi membantu menangani masalah itu.
“Sepanjang tempoh tiga hari pembenihan awan diadakan dari 2 hingga 4 Mei, PBAPP merekodkan taburan hujan 8.5 milimeter (mm) di kawasan tadahan air Empangan Air Itam dan 19.5mm di Teluk Bahang.
“Kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang pada hari ini ialah 41.5 peratus berbanding 43.6 peratus sebelum pembenihan awan 1 Mei lalu, manakala Empangan Air Itam merekodkan 48.4 peratus berbanding 49.1 peratus dalam tempoh sama.
“Dalam tempoh 1 Januari hingga 7 Mei lalu, kapasiti efektif Empangan Air Itam menyusut sebanyak 41 peratus manakala kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang menyusut sebanyak 15.6 peratus,” katanya.
Pathmanathan berkata kapasiti efektif maksimum Empangan Air Itam ialah 2,160 juta liter (JL) manakala Empangan Teluk Bahang (18,240JL).
“Pada 2022, PBAPP membekalkan 868 juta liter sehari (JLH) air terawat di Pulau Pinang dan ini adalah purata `volume’ setiap hari tertinggi untuk satu tahun yang kami bekalkan dalam sejarah PBAPP.
“Pada Januari 2023, kami memecahkan rekod 2022 dengan membekalkan purata 875 JLH manakala pada Februari 2023 kami membekalkan purata yang lebih tinggi sebanyak 944 JLH,” katanya.