Berita Semasa

Cuaca panas: Selenggara kipas di sekolah perlu diutamakan – KP Pendidikan

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali mengarahkan pengarah pendidikan negeri dan daerah supaya memberi keutamaan terhadap kerja-kerja penyelenggaraan kipas di sekolah susulan fenomena cuaca panas yang sedang melanda negara.

Beliau berkata, perkara berkenaan dimaklumkan dalam mesyuarat yang diadakan secara berkala dengan yang terbaharu pada Rabu lepas iaitu melalui sesi libat urus bagi memastikan tindakan segera diambil berkaitan cuaca panas.

“Apabila semua berada dalam bangunan sudah tentu pengudaraan dalam kelas perlu kita beri perhatian. Kita di Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa agihkan peruntukan khusus untuk penyelenggaraan ke peringkat negeri dan daerah.

“Beri keutamaan kepada keperluan, kalau hari ini kita berhadapan dengan situasi cuaca panas tentu lah aktiviti selenggara kipas adalah lebih penting dan diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPM dengan Yayasan Bank Rakyat (YBR) di sini hari ini.

Beberapa negeri yang dilanda cuaca panas terutamanya di Kelantan mendorong murid-murid untuk membawa kipas mini elektrik ke sekolah bagi membolehkan mereka selesa sepanjang berada di dalam kelas memandangkan setiap kelas hanya mempunyai dua kipas siling.

Jumaat lalu, media melaporkan kesemua institusi pendidikan di bawah KPM diminta menangguhkan terlebih dahulu aktiviti luar melibatkan pelajar, guru dan pensyarah berikutan cuaca panas serta kering berpanjangan.

Mengulas mengenai MoU itu, Pkharuddin berkata, YBR bersetuju untuk menawarkan biasiswa kepada para pelajar cemerlang lepasan Program Matrikulasi KPM yang terpilih bagi pengajian ijazah pertama membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM4.7 juta.

Menurutnya, peruntukan tersebut melibatkan seramai 100 pelajar dari golongan B40 dan asnaf yang dipilih bagi tahun 2022 hingga 2025.

“Pembiayaan ini memberi ruang dan peluang kepada pelajar cemerlang Program Matrikulasi KPM untuk menikmati tajaan pendidikan yang mampu menanggung kos yuran pengajian dan kos sara hidup di peringkat ijazah pertama di institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negara.

“Pemeteraian ini menjamin kemudahan pembiayaan pendidikan daripada YBR sehingga tahun 2025 bagi pelajar matrikulasi yang datang daripada jurusan sains, kejuruteraan, perakaunan dan perakaunan profesional,” ujarnya

Show More

Related Articles

Back to top button