Jenayah & Mahkamah

Pekerja elektrik maut selepas berendam dalam sungai

SIBU – Seorang pekerja syarikat pembekalan elektrik kerajaan negeri Sarawak, Sarawak Energy meninggal dunia selepas berendam di dalam arus jeram untuk menyejukkan diri akibat kepanasan di Jalan Paradom dekat sini.

Mangsa, yang berusia 50 tahun dikatakan pengsan sebaik sahaja keluar dari sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sibu kira-kira jam 3.15 petang semalam, yang mengatakan seorang lelaki pengsan di dalam hutan Jalan Paradom/Tanjung Genting Bintangor.

Berdasarkan siasatan awal, katanya, mangsa bersama-sama beberapa orang rakan sekerjanya bertugas menyelenggara pencawang elektrik di kawasan kejadian.

“Menurut saksi, ketika kejadian cuaca amat panas dan mangsa masuk berendam ke dalam sungai berhampiran pencawang elektrik berkenaan.

“Apabila keluar dari sungai, mangsa mengadu seakan-akan mahu pitam dan terus pengsan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkipli berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 4.59 petang oleh paramedik dari Hospital Sibu.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

 

Show More

Related Articles

Back to top button