Jenayah & Mahkamah

Mahkamah benarkan Yasin dirujuk ke Hospital Bahagia

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini  membenarkan penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak agar penilaian kesihatan mentalnya dapat dilakukan. 

Hakim, Nik Nasimah Nik Mohammad membenarkan permohonan peguam belanya, Ariff Azami Hussein mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Ariff Azami dalam hujahannya memaklumkan kepada mahkamah, terdapat asas yang kuat untuk kesihatan mental penyanyi berusia 48 tahun itu diperiksa oleh pakar psikiatrik.

Katanya, pemerhatian perlu dibuat untuk memastikan sama ada Yasin layak untuk dibicarakan atau tidak.

“Pembelaan mengemukakan lima laporan perubatan antaranya mengesahkan sejarah kesihatan mental Yasin yang menghidap penyakit Kecelaruan Bipolar Tahap I sejak 2007.

“Laporan Pusat Pakar Universiti Malaya (USMC) menunjukkan anak guam saya pernah diserang ‘simptom manic’ yang boleh membahayakan dirinya.

“Laporan terkini juga mengesahkan keadaan mental dan kesihatan Yasin semakin merosot sehingga boleh membahayakan nyawanya,” katanya dalam prosiding sebutan kes itu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini memberitahu mahkamah, pendakwaan tidak membantah permohonan pembelaan itu dan menyerahkannya kepada budi bicara mahkamah.

Mahkamah menetapkan 22 Jun ini untuk mengemukakan laporan psikiatrik.

Dalam pertuduhan baharu, Yasin didapati memiliki dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan lain, Yasin mengaku tidak bersalah menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Show More

Related Articles

Back to top button