Berita Semasa

Harga ikan dijangka naik?

CYBERJAYA – Harga ikan dijangka naik dalam masa terdekat akibat kekurangan nelayan turun ke laut berikutan langkah kerajaan mengurangkan subsidi diesel, sejak awal tahun ini.

Timbalan Presiden, Persatuan Pembekal Ikan Malaysia, Tai Wai Sun berkata, bermula 1 Jan lalu, subsidi diesel dikurangkan daripada 20,000 menjadi 17,000 liter bagi bot kelas C, manakala subsidi bot kelas B dikurangkan menjadi 12,000 berbanding 15,000 liter.

“Langkah ini menjejaskan operasi kami kerana nelayan kelas berkenaan menggunakan kira-kira 8,000 hingga 9,000 liter bahan api untuk perjalanan ke laut. Setiap perjalanan mengambil masa kira-kira lapan hari, manakala subsidi kerajaan hanya boleh menampung kira-kira dua hari perjalanan.

“Oleh itu, nelayan akan membuat keputusan untuk tidak turun ke laut pada 20 hingga akhir bulan ini bagi mengelak kehilangan beribu ringgit nilai minyak,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Beliau berkata, situasi itu sekali gus akan menyebabkan berlaku peningkatan harga ikan dalam pasaran ekoran kekurangan bekalan.

Dalam pada itu, Tai turut menggesa pembekal dan peniaga menghentikan jualan ikan buntal ekoran beberapa kematian dilaporkan selepas memakan ikan berkenaan.

“Kematian pasangan warga emas dari Kluang pada Mac lalu bukan kejadian pertama kerana terdapat juga kes serupa berlaku di Kulai, tahun lalu.

“Ikan buntal mengandungi bahan toksik yang mencukupi untuk mendatangkan maut kepada seseorang apabila mereka tertelan bahan itu dalam jumlah serendah 25 miligram. Sehubungan itu, saya merayu penjualan ikan maut itu dihentikan segera bagi mengelak daripada terus membahayakan kesihatan dan nyawa pengguna,” jelasnya.

Pada 25 Mac lalu, pasangan suami isteri, Ng Chuan Sing @ Eng Kuai Sin, 84, dan isterinya, Lim Siew Guan, 83, maut selepas memakan ikan buntal goreng.

Show More

Related Articles

Back to top button