41 elit korporat terima Anugerah Pilihan Pengguna Malaysia (CCA) 2023
SHAH ALAM – Seramai 41 elit korporat dipilih menerima Anugerah Pilihan Pengguna Malaysia (Consumers’ Choice Award (CCA) 2023 bagi mengiktiraf sumbangan mereka kepada masyarakat.
Menurut Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Datuk Paduka Dr. Kevy Kv. Yeo, pihaknya menerima 168 pencalonan, namun hanya 37 syarikat dan 18 individu dipilih sebagai pemenang.
Jelasnya, calon-calon tersebut telah melalui proses penaksiran dan pengauditan yang telus selain aspek kepercayaan pengguna dalam menjadikan produk mahupun perkhidmatan mereka sebagai pilihan utama juga telah diambil kira.
“Pengiktirafan pada malam ini merupakan permulaan untuk pemenang yang telah berjaya dalam mengharungi cabaran ekonomi masa kini. Semoga ianya menjadi contoh dan pembakar semangat kepada mereka yang lain.
“Saya juga ingin menekankan bahawa kejayaan yang dicapai oleh para pemenang pada malam ini adalah kerana mereka telah mendapatkan kepercayaan pengguna sebagai pilihan utama.
“Mereka telah berjaya membina hubungan perniagaan yang kukuh dan memperoleh kepakaran yang mantap. Ini menjadikan mereka lebih meyakinkan dan menjadi rujukan,” katanya dalam ucapan beliau semasa Majlis Anugerah Jenama Pensijilan Pengguna Malaysia di Pusat Konvensyen Setia Alam, di sini, malam tadi.
Dalam majlis tersebut juga, seramai 22 elit lagi berjaya merangkul Anugerah Tokoh Pintar Terbaik (Best Intelligent Figure).
Yang hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Perdana Menteri merangkap Penasihat Kehormat MTPN, Dr. Nik Adi Sukiman Nik Ahmad Pauzi.
Tambahnya, beliau juga menyifatkan kesemua calon adalah aset yang sangat berharga kepada organisasi dan negara dan mengucapkan tahniah kepada mereka.
“Saya menyeru kepada penerima-penerima anugerah agar kita bersama-sama terus menyumbang kepada pembangunan Malaysia dan dapat menjadikan Malaysia lebih maju dan meletakkan kembali Malaysia di persada antarabangsa,” pintanya.
Untuk rekod, majlis anugerah ini merupakan anjuran bersama MTPN dan China Press, yang berobjektifkan memilih elit korporat yang memimpin dan menguruskan syarikat mereka dengan baik.