Politik

Dakwaan Ahli Parlimen BN mahu tinggal atau kosongkan kerusi tidak berasas

LENGGONG – Desas desus terdapat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan mengosongkan kerusi masing-masing bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan adalah tidak berasas.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, pengesahan itu dibuat berdasarkan kaji selidik yang dilakukannya sejak mula desas-desus mengenai peletakan jawatan yang akan dilakukan 13 Ahli Parlimen bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan BN- Pakatan Harapan (PH) yang diperkatakan sekarang.

“Walaupun saya mendengar daripada awal ada 13 orang (Ahli Parlimen) yang mahu meletakkan jawatan dan kemudian angka itu meningkat kepada 15 orang, saya kemudian melakukan kaji selidik terhadap tiap-tiap seorang daripada Ahli Parlimen terbabit.

“Kesimpulannya, saya ingin sahkan tidak ada seorang pun Ahli Parlimen BN, apatah lagi daripada UMNO yang mahu meninggalkan dan mengosongkan kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika beberucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Perak di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi MARA, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ura-ura menjatuhkan kerajaan nyata tidak berasas, sebaliknya BN tetap komited untuk meneruskan kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, sokongan padu daripada 148 Ahli Parlimen mengukuhkan Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang, sekali gus mewujudkan kestabilan dalam negara.

“Sokongan 148 Ahli Parlimen itu membolehkan negara ditadbir oleh kerajaan yang stabil, sekali gus usaha menjaga kebajikan rakyat dapat dilakukan secara berterusan, bukan untuk dipolitikkan.

“Kita hanya bermain politik apabila tiba Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) atau pilihan raya kecil

“Jika bermain politik terlalu banyak, kita boleh lihat keputusannya seperti dizahirkan pada PRU14 apabila kerajaan bertukar silih berganti dengan pertukaran tiga kali Perdana Menteri,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button