Jenayah & Mahkamah

Wanita ditahan, suspek utama kes amang seksual terhadap anak kandung

KUALA SELANGOR – Seorang wanita direman selama lima hari bermula Rabu bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal ke atas anaknya yang berusia 14 tahun.

Ketua Polis Kuala Selangor, Supt. Ramli Kasa berkata, suspek yang berusia 33 tahun dikenakan perintah reman bagi membantu kes yang disiasat di bawah Seksyen 14 dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Kata Ramli, suspek ditahan di kediamannya di Puncak Alam, Shah Alam pada Selasa.

Jelasnya, penahanan itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menerima maklumat mengenai perlakuan tersebut menerusi rakaman video yang diperoleh daripada individu yang tidak dikenali.

“Sejurus menerima laporan, pihak kami telah menahan wanita tersebut dan merampas telefon bimbit yang digunakan untuk merakam perlakuan tersebut.

“Siasatan mendapati, mangsa merupakan anak ketiga daripada lima beradik, dan insiden tersebut berlaku di rumah suspek dan dirakam pada November tahun lepas,” kata Ramli lagi.

Beliau menambah, siasatan turut mendapati suami suspek kini sedang menjalani hukuman penjara, dan ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif.

“Kesemua anak-anak suspek yang berusia antara 9 hingga 17 tahun kini berada dalam jagaan pihak JKM,” kata Ramli lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button