Jenayah & Mahkamah

Wanita warga emas hilang ditemui terbaring 12 meter dalam gaung

SELAYANG – Seorang wanita warga emas berusia 79 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman keluarganya ditemui di dalam gaung sedalam 12 meter di Bandar Baru Selayang 2, Kawasan Kuari, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, mangsa yang dikenali sebagai Bainah Long ditemui dalam keadaan terbaring di cerun bukit di kawasan belakang rumahnya oleh pasukan pencarian.

Katanya, bomba menerima panggilan pada 3.21 pagi dan tiba di tempat kejadian empat minit kemudian.

Menurutnya, mangsa dikatakan hilang selepas bangun dari tidur pada pukul 1 pagi.

“Mangsa dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam gaung itu.

“Mangsa disedari hilang pada 1 pagi dan gagal ditemui oleh keluarganya sebelum laporan dibuat kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, operasi mencari dilakukan pihak bomba di kawasan gaung di belakang rumahnya dan mangsa ditemukan pada 3.40 pagi dalam keadaan terbaring.

Show More

Related Articles

Back to top button