Berita Semasa

APMM mohon bantuan BASARNAS kesan 3 kru kapal masih hilang

JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memohon bantuan daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS), Indonesia bagi mengesan tiga kru kapal MT Pablo yang masih hilang.

Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata ia berikutan ada kemungkinan ketiga-tiga mangsa hanyut memasuki perairan Tanjung Pinang, Indonesia.

Katanya, kemungkinan tersebut adalah berdasarkan simulasi daripada Sistem Perancangan Optimal Mencari dan Menyelamat (SAROPS).

“Pihak Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah memaklumkan kepada pihak Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat (MRCC) Putrajaya untuk memohon bantuan daripada pihak BASARNAS,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Tambahnya, pencarian dalam kapal tangki itu belum dimulakan berikutan penilaian masih menunjukkan keadaan kapal tidak selamat untuk Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memulakan operasi pencarian.

Bagaimanapun, beliau berkata, kapal KD Pendekar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku Penyelaras di Tempat Kejadian (OSC) dan kapal MV Polaris dari Jabatan Laut Malaysia telah melakukan usaha semburan air di bahagian badan kapal tangki terbabit.

Selain itu, katanya, usaha pencarian di laut turut dibantu sebuah bot ronda Pasukan Polis Marin dan dua bot ronda milik APMM dengan keluasan sektor pencarian adalah 393 batu nautika persegi.

Mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Satyam Tripathi, 26 dan Dinesh Kumar Chauhan, 34 masing-masing merupakan warganegara India, manakala, seorang lagi mangsa ialah Sabit Shenderovsky, 37 warganegara Ukraine.

Kapal tangki MT Pablo yang berdaftar dari Gabon, Afrika dengan jumlah 28 orang kru terdiri daripada warganegara India, Ukraine, Rusia dan Pakistan sedang dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura sebelum terbakar di kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili pada sekitar pukul 3 petang pada Isnin lepas.

Show More

Related Articles

Back to top button