Berita Semasa

KPDN ambil langkah segera tangani kekurangan bekalan gula di Kelantan, Terengganu

Susulan penutupan sementara kilang gula MSM kerana sambutan Aidilfitri

SEPANG – Negeri Kelantan dan Terengganu mengalami gangguan bekalan gula paket 1 kilogram (kg) susulan penutupan sementara kilang gula MSM di Johor dan Perai, Pulau Pinang kerana sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub bagaimanapun berkata, kedua-dua kilang MSM berkenaan sudah beroperasi semula sejak 25 April lalu.

“Gangguan bekalan gula hanya berlaku di Kelantan dan sedikit di Terengganu manakala di negeri lain isu ini tidak berlaku dan bekalan mencukupi.

“Bekalan gula sudah diperoleh secara berperingkat melalui pemborong-pemborong utama negeri terbabit.

“Hari ini KPDN Kelantan sudah mengambil langkah untuk mengedarkan bekalan gula paket satu kilogram sebanyak 250,000kg yang ada dalam simpanan pemborong utama di Kelantan kepada pemborong dan peruncit yang terjejas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Bekalan baharu yang diterima itu akan diagihkan kepada pemborong dan peruncit mulai esok dengan pemantauan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan.

Kata Salahuddin lagi, pihaknya bekerjasama rapat dengan dua pengilang utama negara iaitu MSM dan CSR bagi memastikan isu gangguan kepada bekalan tersebut dapat diatasi dengan segera.

Beliau dalam masa yang sama berharap penduduk negeri Kelantan dan Terengganu supaya tidak panik mahu pun terpedaya dengan kemungkinan isu harga gula akan naik dimainkan pihak tertentu.

“KPDN akan bertindak tegas kepada pihak yang cuba mengambil kesempatan atas situasi yang berlaku, begitu juga yang mungkin membuat provokasi kononnya harga gula akan dinaikkan.

“Setakat ini KPDN memberi jaminan, belum ada apa-apa keputusan kenaikan harga gula dan rakyat masih dapat membeli bekalan gula dengan harga ditetapkan.

“Kalau ada pihak yang menyorok atau melakukan sabotaj akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button