Pemimpin Daesh maut di tangan tentera risikan Turki
ISTANBUL – Presiden Turki, Tayyip Erdogan semalam mengesahkan pasukan perisikan kebangsaannya berjaya membunuh pemimpin Daesh, Abu Hussein al-Qurashi dalam satu misi di Syria.
Erdogan dalam temu bual bersama TRT Turk berkata, pasukan perisikan kebangsaan Turki telah menjejak Al-Qurashi sejak sekian lama dan akhirnya berjaya ‘meneutralkan’ pemimpin Daesh tersebut.
“Individu tersebut telah dibunuh sebagai sebahagian daripada operasi yang dilakukan pertubuhan perisikan Turki di Syria semalam,” katanya.
Sumber tempatan dan keselamatan Syria berkata, serbuan itu dilakukan di bandar Jandaris di Utara Syria, yang dikawal oleh kumpulan pemberontak Turki dan merupakan antara paling teruk terjejas dalam gempa bumi pada 6 Februari lalu.
Tentera Kebangsaan Syria bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang komen mengenaid dakwaan itu.
Seorang penduduk berkata, pertempuran bermula di pinggir Jandaris pada malam semalam dan berlarutan kira-kira sejam sebelum penduduk mendengar letupan besar.
Kawasan itu kemudiannya dikepung oleh pasukan keselamatan bagi menghalang sesiapa daripada menghampiri kawasan itu.
Al-Qurashi dipilih sebagai ketua Daesh pada November 2022 selepas pemimpin sebelumnya terbunuh dalam operasi di Selatan Syria.
ISIS mengambil alih sebahagian besar Iraq dan Syria pada 2014, dan ketuanya pada masa itu, Abu Bakr al-Baghdadi, mengisytiharkan penubuhan khalifah Islam di wilayah yang menempatkan jutaan penduduk.
Namun DAESH kehilangan cengkaman di wilayah itu selepas kempen oleh tentera yang disokong Amerika Syarikat di Syria dan Iraq, serta tentera Syria yang disokong oleh Iran, Rusia dan pihak separa tentera.