Berita Semasa

Maklumat peribadi pengguna AKPK didedah di ‘dark web’

CYBERJAYA – Maklumat peribadi kira-kira 20 pelanggan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah didedahkan oleh penjenayah siber di dark web.

AKPK dalam satu kenyataan malam tadi berkata, maklumat yang didedahkan itu merupakan akibat pencerobohan sistem yang dilakukan oleh individu yang tidak bertanggung jawab pada Mac lepas.

“Kami bersedia dan menjangkakan perkara itu. Siasatan dengan pihak ketiga iaitu pakar keselamatan siber juga masih diteruskan.

“Adalah penting untuk menyatakan bahawa kesemua maklumat yang dicuri oleh penjenayah siber itu diperoleh menerusi aktiviti haram dan sehubungan itu semua (perbuatan) mengambil, menggunakan dan penyebarannya adalah satu kesalahan jenayah,” kata AKPK dalam kenyataan itu.

AKPK turut menegaskan, mereka sedang bekerjasama erat dengan pihak berkuasa undang-undang dan pihak berwajib lain, termasuk Kementerian Komunikasi dan Digital (K-KOM) serta CyberSecurity Malaysia dalam siasatan menyeluruh yang sedang dijalankan.

“Kita juga sedang berusaha untuk mengenal pasti maklumat yang telah diakses secara haram dan akan memaklumkan pelanggan yang terjejas,” katanya.

Pada masa sama, AKPK akan terus mengurangkan impak pencerobohan dan meneruskan jangkauan secara terus dan berkomunikasi dengan semua pelanggan.

“Kakitangan AKPK akan membantu pelanggan dengan memberi nasihat untuk menangani perkara berkaitan dengan pencerobohan itu. Kita juga secara berperingkat dalam proses menghidupkan semula sistem dan memaklumkan sebarang kemas kini rasmi sewajarnya,” katanya.

Pada 30 Mac lepas, AKPK telah bertindak menyahaktif beberapa sistem operasinya buat sementara waktu bagi mengelak sebarang risiko seterusnya selepas sistem teknologi maklumatnya diceroboh.

Pelanggan AKPK boleh menghubungi pusat panggilan khusus di nombor 03-26167766 atau layari pautan ini untuk maklumat mengenai cawangan AKPK yang terdekat.

Show More

Related Articles

Back to top button