Berita Semasa

SPRM sita dua akaun bank milik Bersatu

CYBERJAYA – Dua akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikenakan tindakan sita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dibekukan pada Januari lepas.

SPRM dalam satu kenyataan siang tadi memaklumkan, tindakan itu dibuat pada 11 April lepas setelah pihaknya mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank.

“Sebelum ini, akaun-akaun terbabit dibekukan pada 12 dan 13 Jan lepas mengikut Seksyen 44 AMLATFPUAA 2001 bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.

“Susulan itu, SPRM telah melaksanakan tindakan sitaan tersebut pada 11 April 2023 berhubung siasatan dan pertuduhan terhadap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yasin di bawah Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA 2001,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab laporan berita sebuah agensi media yang disiarkan semalam dengan tajuk Bersatu asks MACC why two accounts still frozen after 90 days.

Show More

Related Articles

Back to top button