Jenayah & Mahkamah

Pasangan suami isteri terima upah lumayan seludup kanak-kanak Sri Lanka tumpas

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan kanak-kanak warganegara Sri Lanka ke Eropah menggunakan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dan berjaya menahan pasangan suami isteri warganegara Malaysia yang merupakan dalang sindiket ini pada 12 April lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihak imigresen Kuala Lumpur telah mengesan modus operandi sindiket bergelar ‘Bahnu Internationals’ yang menggunakan ibu atau bapa rakyat Malaysia daripada keluarga miskin yang mempunyai anak di bawah umur 12 tahun untuk memanipulasi maklumat diri kanak-kanak tersebut.

“Sindiket ini akan memperdaya ibu bapa rakyat Malaysia supaya membawa sijil lahir anak bawah 12 tahun hadir ke pejabat imigresen seolah-olah untuk membuat PMA untuk anak sendiri tetapi semasa proses permohonan di kaunter imigresen, kanak-kanak dari Sri Lanka yang hampir sama umur dengan anak sebenar akan dibawa ke hadapan kaunter bagi tujuan rakaman cap jari dan proses ambil gambar.

“Pasangan suami isteri yang mengetuai sindiket ini juga bertindak sebagai ‘Transporter’ dengan membawa kanak-kanak Sri Lanka yang telah berjaya memperolehi PMA ke negara Eropah. Siasatan masih dijalankan bagi mengesan dan mengenal pasti tempoh sindiket ini telah beroperasi dan berapa ramai kanak-kanak yang telah terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati sindiket ini menerima upah lumayan iaitu sebanyak EUR30,000 (RM145,779) hingga EUR50,000 (RM242,965) bagi setiap seorang kanak-kanak Sri Lanka yang diuruskan permohonan PMA dan diiring ke negara Eropah.

Beliau berkata, sindiket ini berjaya ditumpaskan semasa pasangan ini hadir ke imigresen Kuala Lumpur untuk tujuan mendapatkan PMA bagi seorang kanak-kanak Sri Lanka.

“Tindakan peka dan pantas pegawai imigresen di Bahagian Pasport yang menyedari serta mengesan terdapat keraguan dalam permohonan PMA kanak-kanak tersebut telah mengambil tindakan lanjut menemubual kanak-kanak tersebut kerana mendapati ada perbezaan rupa paras yang ketara dengan penjaga dan gagal bertutur bahasa Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, pasangan suami isteri yang masing-masing berumur 37 dan 26 tahun ini telah dituduh dibawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 di Mahkamah Seksyen, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini dan ditahan di Penjara Kajang sehingga tarikh sebutan semula di mahkamah pada 11 Mei ini.

Sementara itu katanya, imigresen menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran dan tipu helah sindiket dan jika terdapat sebarang keraguan berhubung kait dengan imigresen, orang ramai boleh merujuk terus ke jabatan ini atau mendapatkan maklumat terkini melalui laman web serta akaun media sosial rasmi imigresen.

Show More

Related Articles

Back to top button