Jenayah & Mahkamah

Kes lafaz cerai: Puteri Sarah, Syamsul Yusof tiba di mahkamah

KUALA LUMPUR – Pasangan selebriti terkenal, Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin tiba di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi menghadiri prosiding kes lafaz cerai yang ditetapkan di sini, hari ini.

Puteri Sarah,38, yang tiba di perkarangan mahkamah pada jam 9 pagi kelihatan ceria sambil mengenakan pakaian serba putih yang dikatakan sebagai tanda permulaan hidup baharu sekiranya suaminya melafazkan cerai hari ini.

Menurut Puteri Sarah, tiada sebab untuk dia mengenakan pakaian serba hitam kerana ia melambangkan kemurungan.

“Selalu orang pergi mahkamah pakai baju hitam, sangat depresi tetapi saya gembira, ini baju baru.

“Warna putih sebagai tanda permulaan hidup baru buat saya kalau Syamsul lafazkan cerai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Syamsul,39, tidak mahu mengulas lanjut mengenai prosiding hari ini, sebaliknya dia hanya meminta untuk menunggu bagaimana ‘kisah’ ini akan berkakhir.

“Kita tengoklah macam mana kisah ini akan pergi.

“Tiada komen, saya mahu pergi baca ikrar,” jawabnya ringkas.

Pada 18 April lalu, mahkamah memutuskan untuk menetapkan prosiding kes lafaz cerai Syamsul terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah hari ini.

Terma-terma penyelesaian juga akan dimaklumkan pada hari ini yang merangkumi isu hadanah, nusyuz, mutaah, nafkah, idah dan harta sepencarian.

Show More

Related Articles

Back to top button