Jenayah & Mahkamah

Lelaki bakar mercun tepi lebuhraya direman empat hari

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan direman selama empat hari selepas dia disyaki terlibat dalam kejadian membakar mercun di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada minggu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, lelaki warga tempatan berusia 35 itu ditahan pada jam 10 malam semalam di Jalan Dagang, Kuala Lumpur.

Katanya, hasil semakan suspek tidak mempunyai rekod jenayah selain ujian air kencingnya juga negatif.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 kerana menggunakan apa-apa bahan letupan yang mungkin boleh membahayakan nyawa atau kerosakan harta atau kecederaan pada orang,” katanya dalam satu kenyataan rasmi semalam.

Tambah Mohamad Farouk, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana bermain dan membakar mercun dan bunga api.

Beliau juga turut memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang perbuatan menggunakan bahan letupan membahayakan nyawa atau kerosakan atau kecederaan.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video memaparkan seorang lelaki membakar mercun di tepi lebuhraya yang dilihat boleh mengancam pengguna jalan raya yang lain.

Show More

Related Articles

Back to top button