Berita Semasa

Kerajaan tidak bercadang kurangkan kuota minyak masak bersubsidi

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak pernah tidak bercadang untuk mengurangkan kuota minyak masak subsidi kepada 40,000 tan metrik sebulan.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), jumlah kuota 60,000 tan metrik itu yang bersamaan 60 juta pek minyak masak bersubsidi 1 kilogram (kg) adalah mencukupi sekiranya digunakan oleh isi rumah sahaja.

“KPDN ingin memberikan penjelasan lanjut berhubung isu kuota minyak masak subsidi yang mungkin akan dikurangkan kepada 40,000 tan metrik sebulan yang dilaporkan oleh media arus perdana baru-baru ini.

“KPDN ingin memaklumkan bahawa, setakat ini, kuota sebanyak 60,000 tan metrik minyak masak subsidi adalah kekal,” kata KPDN dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan tersebut susulan laporan berita mengenai kenyataan Ketua Setiausaha KPDN bahawa kuota minyak masak bersubsidi mungkin akan dikurangkan kepada 40,000 tan sebulan berikutan jumlah sedia ada tidak dapat dipenuhi syarikat pembungkus atas pelbagai faktor, sekali gus menyebabkan berlaku kekurangan bekalan di pasaran.

Namun kementerian berkenaan berkata, hasil pemeriksaan harian mendapati kekurangan minyak masak bersubsidi sering berlaku di kawasan tertentu yang berpunca daripada pembelian oleh bukan isi rumah dan sektor perniagaan.

“Situasi ini banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor lain terutama pembelian oleh golongan bukan isi rumah, pembukaan sektor perniagaan yang menggunakan minyak masak dalam perniagaan mereka, syarikat-syarikat pembungkus yang tidak beroperasi pada tahap maksima, masalah pengedaran, tindakan kes-kes oleh KPDN sendiri selain digunakan bagi pelbagai program anjuran Kerajaan,” kata kenyataan itu.

Show More

Related Articles

Back to top button