Zamsaham beri bayangan mahu lepas Kelantan FC
KUALA LUMPUR – Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman memberi bayangan akan melepaskan pasukannya susulan kemelut berpanjangan yang dihadapi kelab itu akhir-akhir ini.
Menurut Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham, dia mengakui bersedia untuk melepaskan sepenuhnya saham pasukan itu kepada mana mana pihak yang mampu menjadi ‘bos’ baharu.
Katanya, dia sudah berusaha sehabis baik bagi menaikkan nama pasukan ‘The Red Warriors’ walaupun belum menerima apa-apa bayaran hutang RM3.8 juta yang dipinjam Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).
“Berbagai usaha saya untuk naikkan kelab TRW dari 2020 sehingga sekarang. Duit saya yang KAFA hutang RM3.8juta belum diterima lagi sesen pun.
“Banyak perancangan saya termasuk progress (kemajuan) fasiliti untuk TRW masih belum tercapai. Saya telah usaha untuk 2.5 tahun.
“Jika rasa saya tak cukup bagus dan tidak layak jadi owner (pemilik) kelab ini, saya terfikir untuk melepaskan sepenuhnya saham pasukan Kelantan FC ini kepada individu yg mampu,” kata Norizam menerusi akaun Facebooknya.
Kelantan FC kini menduduki tangga ke-13 liga selepas pasukan itu yang hanya meraih satu kemenangan dan satu seri selepas lapan perlawanan.
Perlawanan terakhir pasukan itu menentang Selangor FC pada Isnin berkesudahan dengan Kelantan FC tewas 3-0.