
Sime Darby Motors lancar kemudahan membaiki, mengecat badan kenderaan berpusat di Pulau Pinang
GEORGETOWN – Sime Darby Motors melancarkan Pusat Membaiki dan Mengecat Badan Kenderaan Berpusat pertama di Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk menyediakan kualiti perkhidmatan terulung bagi pelanggannya di wilayah utara.
Pengarah Urusan Sime Darby Motors, Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau, Jeffrey Gan, pusat servis bernilai RM3 juta dan terletak di Jalan Sungai Pinang itu berkeluasan kira-kira 20,000 kps serta dilengkapi dengan teknologi dan peralatan terkini.
Katanya, kemudahan ini mempunyai empat ruang mekanikal dilengkapi alat pengangkat, termasuk satu ruang kegunaan berat (kerja membaiki badan), satu ruang perataan kering, satu ruang persediaan dan satu ruang khas penyemburan dengan keupayaan menservis dan membaiki sehingga 80 unit kenderaan yang memerlukan kerja pembaikan badan dalam sebulan.
“Dengan kemudahan baharu ini, aliran kerja untuk kerja-kerja pembaikan dan baik pulih akan diselaraskan bagi semua jenama Sime Darby Motors bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan mematuhi piawaian kualiti terperinci jenama.
“Aliran kerja baharu ini juga akan mempercepatkan kerja pembaikan dan baik pulih, lantas mengurangkan tempoh pelanggan kami tidak dapat menggunakan kenderaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Jeffrey, Kemudahan Membaiki & Mengecat Badan Kenderaan Berpusat Sime Darby Motors mempunyai kelengkapan sewajarnya untuk menyediakan perkhidmatan yang komprehensif.
“Pengguna dijamin mendapat perkhidmatan bermutu tinggi bagi semua kerja pembaikan dan baik pulih yang diperlukan. Perkhidmatan yang disediakan termasuk khidmat servis asas, pembaikan kemalangan, kerja cat dan juga penyediaan dokumen yang diperlukan untuk tuntutan insurans.
“Kami mempunyai pakar-pakar terlatih yang akan memastikan semua kerja pembaikan dan penyenggaraan dilakukan mengikut garis panduan yang ditetapkan daripada syarikat prinsipal pelbagai jenama di bawah naungan kami. Justeru, para pelanggan akan mendapat ketenangan fikiran kerana mengetahui kenderaan mereka dijaga dengan baik,” tambah Jeffrey.
Para pelanggan di wilayah utara yang mahu membaiki dan membaik pulih cat kenderaan mereka di pusat baharu ini perlu menghubungi pusat servis masing-masing.
Kereta mereka akan dihantar ke Kemudahan Mengecat dan Membaiki Badan Kenderaan Berpusat Sime Darby Motors oleh Pasukan Perkhidmatan Selepas Jualan masing-masing.
Sime Darby Motors terlibat dalam penjualan runcit kenderaan BMW, MINI, Motorrad, BYD, Volvo, Jaguar, Land Rover, Ford, dan Hyundai, dan juga kenderaan terpakai berkualiti, menerusi Sime Darby Auto Selection.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune