Jenayah & Mahkamah

Polis buka 7 kertas siasatan libatkan kes 3R

BANGI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka tujuh kertas siasatan melibatkan kes-kes 3R iaitu agama, bangsa dan insitusi diraja antara 27 Mac hingga 6 April lalu.

Setiausahanya, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, daripada jumlah itu, empat kes adalah melibatkan institusi diraja, dua kes penghinaan agama dan satu bagi kes perkauman.

Beliau memaklumkan, polis menerusi petugas khas (task force) 3R telah menahan dua individu membabitkan kes penghinaan institusi diraja manakala seorang lagi suspek dalam proses pengesanan.

“Daripada tujuh kertas siasatan, tiga telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara manakal empat lagi kes masih dalam siasatan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Petugas Khas 3R ini diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan berperanan menyiasat kes-kes melibatkan penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja.

Objektif pasukan ini adalah untuk memastikan siasatan dijalankan dengan segera dan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh tujuh hari.

Sementara itu, Polis menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik gambar, video sensitif dan seumpamanya yang melangkaui aspek 3R.

‘Perkara seperti ini boleh menjurus kerpada fitnah dan menyakitkan hati sehingga mengundang kemarahan masyarakat dan kekacauan.

“Pengguna disaran menggunakan media sosial dengan bijak terutama yang menyentuh isu 3R bagi menjamin keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum serta agama terpelihara,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button