Berita Semasa

Seramai 4,914 pegawai perubatan kontrak KKM dilantik ke jawatan tetap – SPA

PUTRAJAYA – Seramai 4,914 orang calon yang terdiri daripada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan diilantik ke jawatan tetap berdasarkan kekosongan sedia ada.

Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyegerakan urusan pelantikan tetap jawatan tersebut bagi tahun ini.

Susulan itu katanya, SPA telah melaksanakan urusan temu duga mulai 1 hingga 22 Mac lalu.

“SPA telah mengemukakan senarai nama calon yang hadir temu duga kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 31 Mac lalu untuk semakan terperinci bagi memastikan semua calon yang dilantik memenuhi syarat khusus yang ditetapkan oleh KKM.

“Ia melibatkan yang telah dilantik kontrak (Contract of Service) di KKM berdasarkan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM Bilangan 4 Tahun 2016; telah menamatkan latihan siswazah di dalam atau di luar negara; merupakan lantikan kontrak mulai tahun 2016 hingga 2020 sahaja; tidak pernah meletak jawatan, tidak pernah ditamatkan perkhidmatan dan tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tempoh kontrak; dan tidak pernah menolak tawaran pelantikan tetap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, baki calon yang memenuhi syarat khusus KKM tetapi tidak ditawarkan lantikan tetap pada sesi pengambilan kali ini akan dijadikan calon simpanan.

Katanya, sekiranya terdapat kekosongan jawatan pada masa hadapan, calon-calon simpanan akan dilantik tetap manakala calon yang tidak memenuhi syarat khusus tidak akan dilantik.

Sementara itu katanya, keputusan temu duga dijadualkan pada 17 April ini melalui e-mel, hebahan di portal rasmi dan Facebook SPA manakala, surat tawaran pelantikan tetap melalui Sistem Tawaran Pelantikan (MySTP) akan dikeluarkan pada 2 Mei 2023.

Sehubungan itu, katanya, calon perlu membuat persetujuan penerimaan tawaran dalam tempoh 14 hari dan melengkapkan semua dokumen yang dikehendaki.

Show More

Related Articles

Back to top button